Monday, December 22, 2008

Peranan Belia Dalam Peristiwa Hijrah

Apabila Allah S.W.T telah mengizinkan umat Islam berhijrah, maka ramailah kaum muslimin telah bertolak menuju ke Yathrib secara rahsia dan tersembuyi. Ini kerana mereka tidak mahu disekat dan ditangkap oleh golongan musyrik Quraisy. Setelah rombongan Islam selamat sampai, barulah Rasulullah s.a.w mengatur rancangan untuk keluar dari bumi Mekah.

Dimulai dengan keluarnya Rasulullah s.a.w bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq menuju ke gua Thur dan mereka menetap di sana selama 3 hari seperti yang telah diriwayatkan dalam kitab-kitab sirah. Dalam tempoh tersebut, beberapa individu telah terlibat dalam menjayakan misi hijrah agung ini, antara lain ialah:

• Saidina Ali bin Abi Talib yang menggantikan baginda di tempat tidurnya.

• Asma` binti Abu Bakar (kakak saidatina Aisyah) yang menghantar bekalan makanan.

• Abdullah bin Abu Bakar sebagai pengintip dan pembekal maklumat kepada Rasulullah s.a.w.

• `Amir bin Fuhairah, hamba Abu Bakar r.a yang menghilangkan kesan-kesan perjalanan Abdullah dan Asma` dengan menjadi pengembala kambing.

Hijrah telah menunjukkan kepentingan dan keberkesanan peranan dan sumbangan golongan belia dalam sesuatu usaha. Apabila golongan muda menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar mana perancangan sekalipun akan dapat menjadi realiti. Lihatlah keberanian saidina Ali. Beliau menggantikan Rasulullah s.w.t di tempat pembaringan pada malam rumah baginda dikepung oleh belia-belia. Berikutan dari mesyuarat tergempar di Dar An-Nadwah (parlimen Quraisy), pihak Quraisy telah memutuskan bahawa insan bernama Muhammad bin Abdullah wajib dibunuh setelah usaha-usaha lain untuk menyekat dakwahnya menemui kegagalan. Setiap etnik dan kabilah telah diminta untuk menghantar pemuda mereka yang gagah perkasa untuk membunuh Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan di dalam kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum bahawa pada malam tersebut, pihak kuffar sering mengintai-intai baginda melalui celah-celah lubang pintu dan tingkap sewaktu kepungan dibuat. Ini kerana mereka mahu memastikan Rasulullah benar-benar sedang tidur di atas katilnya. Memang benar mereka telah melihat sebatang tubuh di sebalik selimut baginda, tetapi manusia sebenar yang berada di bawah selimut itu adalah pemuda bernama Ali bin Abi Talib. Sebaliknya Rasulullah s.a.w telah berjaya keluar dari kepungan mereka dengan bantuan dan pertolongan Allah s.w.t.

Peranan Abdulllah bin Abu Bakar tidak kurang hebatnya. Dalam tempoh 3 hari Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua Thur, beliau mengambil risiko menjadi pembekal maklumat-maklumat terkini tentang perancangan musyrik Mekah. Di waktu siang beliau berada di sekitar Mekah sambil merisik maklumat. Kemudian beliau pergi ke gua Thur ketika hari hampir gelap untuk membentangkan laporan risikannya. Pada keesokkan harinya, beliau pulang semula ke Mekah sebelum fajar terbit supaya pergerakkannya tidak dilihat oleh Abu Jahal dan konco-konconya.

Peristiwa hijrah juga turut merakamkan peranan beliawanis. Anak-anak perempuan saidina Abu Bakar iaitu Asma` dan Aisyah bertungkus lumus menyediakan makanan di rumah kemudian menghantarnya ke Gua Thur pada setiap malam.

Mungkin ada yang tertanya-tanya tidakkah kesan-kesan tapak kaki Abdullah dan Asma` boleh membongkar rahsia tempat persembunyian baginda dan Abu Bakar? Ketika ini peranan `Amir bin Fuhairah diperlukan. Beliau diarah untuk membawa kambing-kambing gembalaannya di sekitar gua Thur untuk menghilangkan kesan-kesan tapak kaki perisik dan pembekal makanan Rasulullah s.a.w yang sentiasa berulang alik antara Mekah-Gua Thur.

Dr. Mustafa As-Siba`ei telah berkata bahawa Hijrah adalah antara peristiwa besar yang telah merobah perjalanan hidup manusia dan tamadun kehidupan. Jika idea Hijrah tidak tercetus, berkemungkinan cahaya Islam tidak dapat menerangi dunia hingga ke hari ini. Dan apa yang menariknya di sini ialah kejayaan Hijrah adalah hasil bantuan, sokongan dan pengorbanan dari golongan belia!

Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta kegemilangan ilmu pengetahuan, keamanan, perpaduan dan reformasi atau islah. Lihatlah insan-insan seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam di zaman khilafah Umawiyah, Imam Asy-Syafe`i menjadi ilmuan ulung ketika mudanya, bahkan telah menjadi mufti ketika usia 9 tahun!, Muaz bin Jabal, komendar perang yang menawan Kota Andalus daripada Kristian dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah mamahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia.

Sewajarnya umat Islam di semua peringkat pada hari ini menyedari bahawa jatuh bangun agama, tamadun serta identiti umat banyak bergantung kepada potensi belia. Dengan sokongan dan pengorbanan mereka, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika belia dididik dengan akidah dan akhlak yang mantap.

Krisis moral belia yang tidak kunjung padam pada hari ini sepatutnya menimbulkan rasa insaf dan resah dari pelbagai pihak. Golongan ini jika tidak digilap potensi akal dan kekuatannya dengan nilai-nilai keagamaan, gejala-gejala rosak tidak akan berkurangan. Bahkan ianya bertambah banyak dan akan muncul pula kerosakan-kerosakan baru. Isu dadah, seks bebas, pelacuran, pembuangan anak, budaya samseng dan black metal antara penyakit lama yang belum diubati sepenuhnya. Belum pun sempat negara keluar dari kemelut lama, datang pula masalah baru seperti mat rempit, budaya gothik, isu murtad, ajaran-ajaran sesat dan pelbagai isu lagi yang cukup memeningkan kepala.

Ibu bapa sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama dan akhlak dalam diri anak-anak. Jiwa mereka mesti dibekalkan dengan elemen-elemen positif sebagai pembimbing minda di masa hadapan. Namun apa yang menyedihkan ialah pendidikan agama untuk anak-anak hanya menjadi agenda menengah. Sekolah-sekolah agama hanya menjadi tumpuan jika anak-anak sudah tidak mampu meraih keputusan baik di sekolah-sekolah konvesional. Lantaran itu, mulalah masyarakat menuduh institusi SAR tidak praktikal dan produktif kerana pelajar-pelajarnya ketinggalan!

Perspesi ini wajib dibuang jauh-jauh jika ingin melihat golongan belia memberi sumbangan positif kepada negara dan umat. Pendidikan agama dan akademik mestilah seiring dalam merangka kejayaan dunia dan akhirat. Islam tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan akhirat. Tetapi Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan akan datang. Sebab itu ianya cukup sesuai dan relevan pada setiap masa dan tempat.

Kerajaan mestilah memantau agenda pembangunan belia dan beliawanis. Hiburan-hiburan melampau harus dibanteras dan digantikan dengan program berfaedah yang mesra belia dan kanak-kanak. Media cetak dan elektronik perlu berfikir dua kali sebelum memaparkan filem dan rancangan harian. Program berunsurkan pengajaran, pembinaan jatidiri, penghayatan agama, pencerdasan minda perlu diperbanyakkan dan unsur-unsur ‘lagho’, lucah dan negatif wajib dikurangkan sehingga menjadi sifar. Apalah gunanya jika ekonomi dan pembangunan negara bertambah pesat, tetapi manusia hidup berada dalam ketakutan, hilang kepercayaan dan keamanan sosial semakin terhakis. Tiada guna negara berbangga dengan pencapaian sains dan teknologi maklumat, tetapi rakyat merasa terasing dalam negara sendiri. Sudah tentu negara dan rakyat sedang menuju ke arah kehancuran fizikal dan spritual.

Kesimpulannaya, pihak kerajaan, NGO, institusi masjid, ibubapa dan guru haruslah peka terhadap isu belia. Pengajaran dari Hijrah Rasul mesti diaplikasikan dengan sebaik mungkin. Jika belia di zaman dahulu telah membuktikan kemampuan mereka dalam menjayakan misi-misi gergasi, sudah tentu belia sekarang juga memiliki kemampuan untuk mencipta pembaharuan dan menjayakan agenda islah umat. Semua ini bukanlah suatu misi mustahil jika semua pihak benar-benar sedar dan peka dalam pembetukan belia positif.

oleh: Ad-Dimasyqi 07

Sumber: http://www.mindamadani.my/content/view/170/2/

Monday, December 1, 2008

Taqwa & Cinta Manusia

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
Tentu setiap hati, jasmani yang murni sifatnya akan berkehendakan cinta.

Walaubagaimanapun, kita telusuri sedikit perihal TAQWA, yang umum mengetahui, namun lupa itulah sebenarnya cinta hamba kepada YANG MAHA MENCIPTA.

Para ulama ridhwanullahi ‘alaihim berkata: Taqwa itu adalah menuruti perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan NYA. Samada secara nampak dan batin.

Justeru, apakah kita benar-benar merasai taqwa dalam masa sama sentiasa memikirkan akan si dia yang statusnya pula bukan mahram kepada kita.

Benar... tidak bersua, bersentuh malah berpandangan juga tidak. Pada mata yang kasar, ia tidaklah berdosa.

Namun, kematian hati berlaku dalam keadaan yang kita sendiri leka. Akibatnya, dosa-dosa batin dilakukan dalam keadaan kita menyangka kita dalam keredhaan ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Bahawa lintasan hati memikirkan si dia, kasihnya, susuk tubuhnya, bahkan sehingga kepada membayangkannya, bakal mencampakkan kita ke jurang yang ALLAH SWT murka.

Mudah bukan menulis dan berkata. Nasihat dan mencela. Ketahuilah, kadangkala hati-hati kita ini perlu sentiasa diisi dengan masa-masa mendengar dan mengaji. Supaya berlaku penyucian jiwa. Supaya berlaku membesarkan ALLAH SWT serta mengenangkan kebesaranNYA ke atas setiap makhluk. Lalu, hadirkanlah diri dengan mengarahkan nafsu cela ke Majlis-majlis ilmu. Asal syaratnya guru yang bersih daripada tajsim dan tasybih atau perkara-perkara yang melanggari syarak.

Ia dicapai dengan merasakan bahawa kebesaran ALLAH SWT itu adalah hakiki dengan merasa kegerunan apabila disebut akan nama ALLAH SWT Yang Maha Penyayang, merasa ketakutan dengan kehebatan mutlak yang dimiliki oleh ALLAH SWT.

Orang-orang yang bertakwa itu adalah orang-orang yang beriman, dan tidak semestinya orang-orang yang beriman itu bertakwa kepada Allah, sebagaimana firman-Nya menerusi ayat 102 surah Ali 'Imran:

102. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan Dalam keadaan Islam.

[Al-Imran:102]

Begitu pula orang-orang beriman adalah orang-orang Islam, tidak mesti orang-orang Islam itu beriman.

Justeru, gapailah cinta dalam keadaan kamu merasa tidak bersedia. Khuatir, kehadiran kesedaran mengenai cinta agung yakni TAQWA kepada ALLAH SWT itu, hadirnya sekali dan sukar pula dicari ganti.

Apalah yang hendak diletakkan harap kepada cinta makhluk. Cinta yang kadang kala bersifat menunjuk-nunjuk. Tersembunyi pula segala buruk.

WALLAHU'ALAM

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين، والحمد لله رب العالمين

al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:
Mohd. Noor Ikhram Bin Husin
15 Zulkaedah 1429H
http://almukminun.blogspot.com/