Monday, February 16, 2009

Dalam Hati....

bnu Qayyim pernah menegaskan bahawa dalam hati itu terdapat kekalutan yang tidak boleh diperbetulkan kecuali dengan mengadap kepada Allah
 

1. Dalam hati itu terdapat sifat liar yang tidak mungkin dihilangkan kecuali dengan berjinak-jinak dengan Allah

2. Dalam hati itu terdapat rasa dukacita yang tidak mungkin dihapuskan kecuali dengan merasa gembira dengan ma'rifat terhadapNya dan juga benar dalam bermuamalah dengannya

3. Dalam hati itu terdapat perasaan keluh kesah yang tidak mungkin ditenangkan kecuali dengan berkumpul dan menumpukan diri kepadanya

4. Dalam hati itu terdapat kegolojohan dan penyesalan yang tidak mungkin dipadamkan kecuali dengan redha dengan perintah, larangan dan qada' Allah dan menahan sabar menghadapi perkara tersebut sehinggalah ke masa pertemuan denganNya

5. Dalam hati itu terdapat rasa kepapaan yang tidak mungkin disekat kecuali dengan perasaan kasih dan penyerahan diri kepadaNya,berterusan berzikir dan kebenaran keikhlasan kepadaNya. Jika dikurniakan dunia dan segala kandungannya kepada hati yang dihidapi perasaan papa maka ia tidak dapat menghilangkan perasaan tersebut

Thursday, February 12, 2009

Penulisan Fikrah Madani Agen Kecemerlangan Masjid Sultan Ismail, UTM

Oleh : Muhamad Fairuz Mursyid Mustafa


Islam amat menitikberatkan penyampaian dakwah secara terbaik dalam usaha memakmurkan dunia ini daripada kejahatan dan kemungkaran. Oleh kerana penulisan yang berkualiti mementingkan kesannya kepada pembaca, maka penghasilan penulisan memerlukan keteguhan yang bergantung kepada iman dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Penulisan Ke Arah Keredhaan Allah
Penulisan Islam menjurus ke arah mendapatkan keredhaan Allah SWT sama ada dari segi penulisan, pengisian dan kesannya terhadap pembaca. Bagi menjamin keberkesanan sesuatu mesej dakwah melalui penulisan dapat diterima oleh pembaca dengan baik, maka elemen – elemen seperti penulis, karya dan pembaca perlu diutamakan.

Penulis yang bertanggungjawab menurut HM Tuah Iskandar (1997) hendaklah memiliki empat unsur penting iaitu memiliki sifat kehambaan kepada Allah SWT, menjadi pemerhati dan pemikir terhadap persekitarannya, mempunyai jiwa pendakwah yang cintakan kebenaran dan menjadi penyuluh diri dan suasana daripada perbuatan keji dan mungkar.

Gaya bahasa yang digunakan hendaklah ringkas, padat dan jelas khususnya dalam penulisan yang berbentuk penyampaian dakwah umum. Contohnya, hadis Nabi Muhammad SAW boleh diterjemahkan ke dalam bentuk cerita dan diselitkan dialog bagi menambah keseronokan membaca. Gaya bahasa yang digunakan haruslah menepati kedudukannya dan jangan sampai meninggalkan kesan negatif kepada para pembaca.

Seseorang yang menjadi penulis yang baik bukan setakat disebabkan bakat penulisan yang sedia ada dalam dirinya tetapi dia juga adalah seorang pembaca yang baik. Banyakkan bacaan dan berilah tumpuan khas kepada cara penulisan buku bacaan selain kandungan penulisan yang terdapat pada bahan bacaan bagi menghasilkan karya bermutu.

Apabila elemen penulis yang bertanggungjawab, karya berkualiti dan impak positif pada para pembaca dapat digabungkan, maka secara tak langsung niat penulisan dalam mencapai keredhaan Allah akan dapat menjadi realiti.

Jenis Penulisan Yang Sesuai di Masjid
Masyarakat di Malaysia kurang mempunyai budaya membaca yang baik. Tetapi mereka akan membaca sesuatu yang ringkas dan mudah difahami. Kandungan yang penting dan diminati oleh khalayak dalam sesuatu penulisan ialah tentang isu semasa dan pengetahuan am sama ada di luar negara atau dalam negara yang dilihat dari perspektif Islam.

Penulis berpandangan antara penulisan yang wajar diketengahakan dalam risalah masjid khususya masjid – masjid yang dikelilingi oleh warga universiti adalah:

1. Isu semasa – Perkembangan terkini perkara yang melibatkan segala bentuk rencah kehidupan wajar diulas dari perspektif dan pandangan Islam. Isu semasa wajar melibatkan perkembangan semasa di dalam universiti, negara dan luar negara. Pandangan yang pelbagai pihak tentang sesuatu isu semasa amat diminati oleh warga mahasiswa dan universiti yang mahu melihat pelbagai dimensi yang akhirnya akan menggerakkan minda pembaca menganalisis pembacaan secara tuntas dan rasional.

2. Analisis teks khutbah dan majlis ilmu – Sepanjang pengalaman penulis berada di Universiti Teknologi Malaysia, khutbah dan majlis ilmu yang disampaikan oleh para cendiakawan amat memberansangkan dan mencetuskan pemikiran minda. Ia amat sesuai untuk golongan mahasiswa. Analisis ini merupakan salah satu respon terhadap segala yang disampaikan untuk dikongsikan kepada seluruh masyarakat.

3. Tips dan panduan ibadah – Masjid juga sering dikunjungi sebagai tempat rehat dan ibadat para musafir. Tips yang ditulis tidak boleh terlalu panjang. Poster atau booklet berbentuk nasihat, sifat muslim sejati atau motivasi juga boleh disediakan untuk bahan tatapan pengunjung masjid.

4. Sejarah masjid – Kadang kala rasa kagum terhadap masjid apabila kita mengenali sesebuah masjid. Jadi salah satu untuk merasakan kecintaan masjid yang dibina adalah dengan menceritakan sejarah pembinaan dan keunikan yang dimilikinya.

5. Bicara tokoh – Risalah yang dikeluarkan akan menonjolkan keyakinan kepada pembaca apabila kita menyelitkan pandangan tokoh ilmuwan di dalam sesuatu tajuk yang dibincangkan.

6. Pemberitahuan dan makluman – Segala aktiviti masjid dan organisasi yang bernaung dibawah masjid secara efektifnya perlu dihebahkan secara bertulis. Maklumat kegiatan terkini perlu diberitahu agar salah satu medium mengajak masyarakat bersama dalam kegiatan masjid.

Risalah Fikrah Madani, Contoh Risalah Masjid
Sejak penubuhan Sekreatriat Rakan Masjid Sultan Ismail UTM pada Jun 2003, risalah Fikrah Madani adalah merupakan salah satu artikel rasmi bagi organisasi yang menjadi pemangkin kepada pengimarahan masjid.

Idea dan pandangan yang terdapat dalam risalah sewharusnya dianalisis oleh para editor artikel ini agar memaparkan penulisan yang berkualiti khususnya untuk tatapan warga kampus. Penulis percaya dengan komitmen dan saranan yang dikemukakan akan mennjadi semangat warga penggerak risalah ini untuk terus menghidupkan budaya penulisan dan penerbitan yang berdisiplin. Oleh yang demikian, penulisan merupakan alat komunikasi yang penting dalam menghubungkan sesebuah masjid dengan masyarakat sekeliling. Penyebaran maklumat dan pengetahuan tentang Islam yang bertanggungjawab melalui risalah masjid ini akan menjadikan masjid sebagai pusat ilmu pengetahuan dan kecemerlangan umat. Justeru bersempena Bulan Dakwah peringkat kebangsaan yang bermula 15 Februari ini dengan bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’, sewajarnya risalah yang mewakili setiap masjid seperti risalah Fikrah Madani di Masjid Sultan Ismail, UTM hendaklah menjadi agen penulisan yang membawa sinar pencerahan terhadap masyarakat sekelilingnya.