Monday, June 14, 2010

senyum & salam

Pernahkah sahabat-sahabat mendengar ungkapan “senyumlah kepada dunia, nescaya dunia akan senyum kepadamu? Jika kita berfikir sejenak, apakah yang dimaksudkan dengan ungkapan ini? Izinkan pena ini untuk terus merungkaikan maksud yang tersirat melalui ungkapan ini iaitu pernahkah sahabat sekalian melontarkan senyuman kepada orang yang tak dikenali (yang ini khusus untuk sama jantina sahaja) dan yang akan dibalas oleh orang itu juga tidak lain dan tidak bukan juga ialah melalui senyuman.

Orang akan merasa dihargai bila kita senyum padanya, sekaligus ia akan memberi tanggapan yang baik kepada diri kita. Lantas kenapa kita tidak mahu dimuliakan? Muliakanlah diri anda dengan senyuman.

Bukankah itu juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita bukan sahaja hanya berteraskan bangsa semata-mata. Bukankah ini menunjukkan bahawa senyum ini merupakan bahasa dunia. Dan firman Allah, Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
Jesteru, dapat disimpulkan disini bahawa senyum itu merupakan satu jambatan persahabatan. Kadang-kadang, sering kita dengari nasihat oleh pakar-pakar motivasi negara kita di celah-celah corong media elektronik, seperti mereka juga selalu menggalakkan kita untuk senyum dahulu sebelum kita membaca atau mengulangkaji pelajaran.

Ini disebabkan apabila kita senyum, kita berupaya mengendalikan emosi kita itu menjadi lebih seronok dan ini akan mengakibatkan apa yang kita baca atau pelajari senang difahami kerana ketika ini kita meletakkan tahap motivasi kita pada tahap yang tinggi.

Justeru itu, marilah kita sama-sama menjadikan senyum ini sebagai budaya dan tabiat kita. Apabila sudah menjadi menjadi kebiasaan, ianya akan menjadi mudah untuk kita melakukannya. Adalah dengan ini diperakui, setiap kali tersenyum kita hanya menggerakkan 15 otot manakala ketika marah kita akan mengedutkan 63 otot di bahagian muka.

Perbuatan mengerutkan dahi saja memerlukan gerak kerja 40 otot. Bayangkanlah!!! Bertapa senangnya untuk mengamalkan petua untuk selalu nampak muda. Apa yang penting ingin dinyatakan disini ialah senyum itu juga merupakan suatu sedekah. Jadi apakah lagi yang ingin dipertikaikan disini? Marilah kita senyum dengan penuh ketulusan hati kita kerana senyum yang dibuat-buat pasti tidak akan menyenangkan, sama saja dengan kening yang berkerut.

Mengimbau kembali susur galur hidup Rasullullah Sallallahu alaihi wasallam, Baginda juga kadang-kadang tersenyum, dan akan segera menutup mulut apabila senyum sampaikan tidak nampak gigi Baginda. Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, ketawa dan senyum itu amat jelas sekali ketara perbezaannya. Ketawa itu menggelapkan hati dan kita akan melupakan akhirat, dimana disitulah kita akan kekal hidup selama-lamanya, dunia ini tidak kekal dan ianya adalah merupakan tempat persinggahan sementara untuk kita.

Akhir kalam daripada pengarang, senyum akan membentuk sebuah masyarakat yang bebas daripada perbuatan khianat-mengkhianati, dendam dan benci-membenci. Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya. Sekian

Oleh: Syazwan
05/02/2010 Bersamaan 21/Safar/1431

No comments: