Friday, July 9, 2010

Selamat Datang Ke UTM Kepada Mahasiswa & Mahasiswi sesi 2010/2011


اَهْلًا وَسَهْلًا وَمَرْحَبًا بِكُم

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta kerana telah memberi kepada kita segala nikmat di dunia ini dengan percuma tanpa memohon bayaran sedikit pun. Maha Suci Allah Yang Maha Pemurah kepada hamba-hambaNya. Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa mahasiswi sesi Julai 2010/2011 yang baru berdaftar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Tahniah diucapkan kepada anda semua kerana telah menjadi pilihan Allah SWT menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi di sini sebagai medan menuntut ilmu yang baru.
Sememangnya menjadi tanggungjawab keatas kita semua untuk menuntut ilmu sesuai dengan hadis Baginda (SAW) yang berbunyi :

اطلب العلم فريضة على كل مسلم ومسلمة
Menuntut ilmu adalah wajid keatas lelaki dan perempuan

Islam amat menggalakkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan walau dengan apa jua cara dan keadaan sekalipun. Tiada satu agama atau ajaran di dunia ini sejak dahulu hingga sekarang yang dapat menandingi Islam dari segi pengutamaan ilmu pengetahuan. Hal ini dapat dibuktikan apabila wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah (SAW) yang menitikberatkan ilmu pengetahuan.

Firman Allah dalam surah al-Alaq ayat 1-5 yang bermaksud :
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (sekalian makhluk). Ia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu amat pemurah. Yang mengajarkan (menulis) dengan pena. Yang mengajarkan kepada manusia apa-apa yang tiada diketahuinya".

Nabi Muhammad (SAW) bersabda:
"Barangsiapa menginginkan perkara yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya." (HR. Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadis tersebut dapat disimpulkan bahawa Islam amat mementingkan umatnya untuk mencari ilmu dunia dan akhirat kerana kita semua menempuh dua kehidupan iaitu dunia yang hanya bersifat sementara serta kehidupan akhirat juga memerlukan ilmu untuk hidup bahagia yang kekal tanpa penghujungnya.

Apabila pelita tidak bersumbu
Tidakkan dapat dibuat suluh
Apabila dada tidak berilmu
Banyaklah sifat tidak senonoh

Coretan ini adalah berkaitan dengan kepentingan menuntut ilmu bersesuaian dengan kedatangan para mahasiswa baru ke universiti adalah semata-mata untuk mendapatkan ilmu dalam pelbagai bidang. Sempena minggu pertama kemasukan anda semua di universiti, marilah sama-sama kita memasang niat yang betul dan azam yang tekad untuk berusaha menuntut ilmu sebagaimana yang dikehendaki dalam Islam dengan usaha yang bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan harapan yang tinggi daripada ibubapa yang menginginkan kejayaan yang cemerlang bakal diperolehi oleh anak mereka di tempat yang baru di samping mengharapkan keredhaan daripada Allah SWT di atas segala apa yang kita lakukan.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengajak anda semua untuk sama-sama kita mengikuti sebarang program dan aktiviti yang akan dijalankan oleh Sekretariat Rakan Masjid ataupun Pusat Islam UTM serta mana-mana persatuan Islam yang lain supaya dapat menjalinkan ukhwah diantara kita serta dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sekian

والله تعالى أعلم
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاتة...


kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah


Oleh:
Md Hamzaimi Azrol bin Md Baharudin
Pengerusi Rakan Masjid UTM sesi 2009/2010